2.1 ISU PEGGUNAAN BAHASA IBUNDA DI SEKOLAH
Bahasa ibunda merujuk kepada bahasa pertama yang dipelajari oleh seseorang manusia mengikut sosiobudaya yang tersendiri. Sebagai contoh, orang India akan mempelajari Bahasa Tamil dan orang Cina akan mempelajari Bahasa Mandarin terlebih dahulu sebelum Bahasa Malaysia. Corak struktur sosial budaya Malaysia pada awal kemerdekaan mempengaruhi pemilihan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di Malaysia. Menyedari hakikat bahawa bahasa pengantar terbaik untuk pendidikan awal kanak-kanak adalah bahasa ibunda sendiri dan struktur masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu, maka Akta pendidikan 1960 membenarkan wujudnya tiga bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di Malaysia. Bahasa pengantar ini adalah Bahasa Melayu untuk sekolah kebangsaan, bahasa Tamil untuk sekolah jenis Kebangsaan (tamil) dan bahasa cina untuk sekolah jenis kebangsaan cina.
Bedui Une (2015), Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sarawak (IPGKS) menyatakan bahawa usaha menyampaikan ilmu kepada suatu kaum adalah lebih efektif sekirannya dilakukan oleh ahli daripada kaum itu sendiri. Tambahan pula, bagi meningkatkan lagi prestasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah-sekolah pedalaman, IPGKS kini giat menjalankan usaha bagi menghasilkan pendidik bagi setiap kaum di Sarawak yang terdiri daripada kaum-kaum itu sendiri. Selain itu, kajian ‘Penggunaan bahasa ibunda dalam pengajaran Bahasa Melayu dalam kalangan murid peribumi di sekolah pedalaman Sarawak’ oleh Illangko, Noorulafiza dan Hamahida(2014), menyatakan bahawa murid peribumi di Sarawak dapat menjawab soalan dengan lebih tepat apabila bahasa pertama iaitu bahasa Iban digunakan untuk mengukuhkan pemahaman murid.
Ini selari dengan dapatan beberapa kajian lain yang turut menyatakan penyertaan murid dalam proses PdP menunjukkan peningkatan apabila guru menggunakan bahasa ibunda murid ketika di dalam bilik darjah. Namun, tidak dapat dinafikan juga dengan kewujudan murid yang terdiri daripada pelbagai kaum, pastinya berlaku dialek bahasa yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
2.1.1 Kesan Positif Penggunaan Bahasa Ibunda dalam Pengajaran
Guru lebih yakin dengan pengajaran dengan bahasa ibunda. Penyampaian kandungan menjadi lebih efektif. Komunikasi antara guru dengan pelajar dapat dimaksimumkan dan berlaku dengan lebih berkesan. Pelajar juga lebih mudah memahami proses pembelajaran dan lebih berani menanyakan soalan. Justeru itu, pencapaian murid dapat dipertingkatkan. Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova (2011), menyatakan bahawa kanak-kanak lebih cemerlang jika didedahkan dengan pelajaran yang menggunakan bahasa ibunda khususnya di peringkat rendah. Beliau turut menyatakan bahawa terdapat bukti menunjukkan kanak-kanak diseluruh dunia, contohnya seperti di Mexico dan Peru yang mendapat pendidikan peringkat rendah dalam bahasa ibunda akan cemerlang di bilik darjah (Laman Utusan Malaysia Online, 12 Mei 2011).
2.1.2 Kesan Negatif Penggunaan Bahasa Ibunda dalam Pengajaran
Salah satu kesukaran dalam melaksanakan pengajaran dalam bahasa ibunda ialah penguasaan bahasa oleh seseorang guru. Guru seharusnya menguasai bahasa ibunda dengan baik supaya dapat menyampaikan pengajarannya dengan berkesan. Salah satu masalah yang sering dihadapi dalam masyarakat majmuk ini adalah perkahwinan campur. Individu yang berlatar belakangkan ibubapa yang berlainan etnik, mengalami kekeliruan memilih bahasa ibunda. Selain itu, sumber rujukan utama kebanyakkanya dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris. Ini akan menyebabkan guru cenderong untuk menggunakan bahasa rojak atau bahasa campur dalam pengajarannya. Keadaan ini menyebabkan pelajar kurang menguasai bahasa sekunder seperti Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.