Artikel 3


Penggunaan Bahasa Inggeris Bagi Proses Pengajaran Dalam Kalangan Pensyarah Politeknik Balik Pulau dan Politeknik Seberang Perai
Oleh : Norhanisha Binti Yusof, SyamsiahBinti Hussin, Syaiful Anas Bin Ibrahim (2010)

Ulasan & Kritikan :
          
         Artikel ini mengkaji tentang kekangan yang dihadapi oleh para pensyarah Politeknik dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajran Sains, Matematik dan Teknikal dalam Bahasa Inggeris (PPSMTI) dari aspek pengajaran dalam kelas. Objektif kajian adalah untuk mengkaji sejauh mana faktor sikap, ilmu pengetahuan dan kemahiran pensyarah mempengaruhi penggunaan Bahasa Inggeris semasa proses pengajaran. 

         Penggunaan Bahasa Inggeris adalah satu cabaran dalam sistem pendidikan kerana ia merupakan bahasa asing dalam sistem pendidikan Malaysia. Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, graduasi perlu melengkapkan diri dari segala aspek untuk menerajui pentadbiran negara kita. Graduasi yang cemerlang dilahirkan oleh pusat pengajian yang terdiri dari pensyarah yang serba boleh. 

        Kualiti guru adalah faktor utama yang menentukan pembelajaran dan secara deduksi, ia adalah faktor yang dapat mengubah kualiti sekolah.  Menurut Toh Wah Seng (2005) kualiti guru merujuk kepada ilmu pengetahuan , kemahiran dan sikap guru. Sikap ialah faktor yang sukar dikawal. Ilmu dan kemahiran dapat diubah melalui program-program perkembangan profesionalisme. Konsep perkembangan profesionalisme harus dilihat sebagai satu proses pembelajaran yang dinamik dan yang menjurus kepada tahap pemahaman dan kesedaran yang baru tentang konteks di mana guru bekerja supaya membolehkan guru meneliti rutin kerja, amalan, dan matlamat serta mengambil tindakan untuk mengubahnya supaya menambah baik keadaan. 

        Hasil kajian ini menunjukkan pensyarah politeknik bersikap neutral untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam proses pengajaran mereka. Bong Pong Ying dan Ragbir Kaur (1998) menyatakan bahawa proses pembelajaran seseorang individu dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Jika seseorang individu itu adalah positif, proses pengajaran akan menjadi lebih efektif. Secara kesimpulannya, dapatan kajian ini menunjukkan sikap yang positif akan menghasilkan keputusan yang lebih dari yang diharapkan.